SHAH ALAM - Festival Homestay Selangor 2014 yang akan diadakan selama tiga hari mulai 30 Mei ini di i-City di sini menyasarkan pendapatan penjualan produk sehingga RM3.5 juta melibatkan kemasukan 10,000 pengunjung.
Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Selangor, Arshad Mustapa berkata, sejumlah 27 pengusaha inap desa di Selangor akan menyertai festival itu.
"Pengusaha ini akan mempamerkan produk pakej inap desa termasuk produk keluaran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) tempatan seperti kraftangan dan kerepek," katanya pada sidang media sempena fesival itu di sini hari ini.
Selain Festival Homestay Selangor, i-City turut menjadi venue untuk program Citrawarna Selangor 2014 yang akan diadakan pada 31 Mei di iWalk bagi memeriahkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.
"Dua acara utama yang diadakan secara serentak pada akhir bulan ini dapat membantu merangsangkan lagi bilangan kemasukan pelancong ke negeri Selangor khususnya dan Malaysia amnya," katanya.
Pada majlis itu, i-City turut melancarkan kempen RM50 i-Card untuk menarik pelancong domestik dan antarabangsa ke Malaysia sempena TMM 2014.
Pengurus Perkhidmatan Korporat i-City, Tang Soke Cheng berkata i-Card itu sah dari 20 Mei hingga 25 Julai ini dan hanya akan diberikan kepada 1,000 pengunjung pertama ke i-City pada setiap hari.
"Kad ini akan memberi peluang kepada pengunjung menikmati kesemua produk i-City dengan harga RM50 sahaja untuk setiap orang antaranya Red Carpet, Water World, SnoWalk, Space Mission dan Horror House dengan penjimatan sehingga 50 peratus," katanya.
i-Card itu boleh digunapakai bermula pukul 10 pagi hingga 6 petang setiap hari termasuk cuti sekolah, cuti umum dan hari minggu. -Bernama